Kadang-kadang rasa mual pun ada bila berkali-kali dia menjaja pandangannya tentang BR1M. Bukan sekali dua, sudah berkali-kali dia menghina. Kalau berucap depan mereka yang berpendapatan rendah, lagi dia suka ulang berkata perkara yang sama.

Macam-macam yang dia kata. BR1M itu kononnya ‘dedak’. BR1M itu kononnya ‘gula-gula’. Dan baru-baru ini khabarnya dia cuba meracun fikiran rakyat Kedah dengan mengatakan BR1M itu adalah ‘umpan’ Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk meraih undi rakyat kepada BN.

Dia fikir, penerima-penerima BR1M suka dia mengutuk mereka makan ‘dedak’? Apa dia fikir, penerima-penerima bantuan itu suka dihina makan ‘gula-gula’? Apa dia fikir penerima BR1M itu semua ‘bodoh’ untuk dia perbodohkan?

Apakah dia fikir BR1M hanya diberikan kepada penyokong BN dan golongan pengundi yang menyokong kerajaan sahaja? Apakah dia tidak tahu bahawa BR1M diberikan kepada semua rakyat yang layak tanpa mengira fahaman politik atau parti?

Penulis yakin dia tahu bahawa BR1M turut diberi kepada penyokong DAP, PKR, PAN dan PAS. Malah puak ‘bunga raya’ pun ramai dan antara yang beratur paling depan untuk menerima BR1M. Penulis yakin dia tahu, tapi pura-pura tak tahu dan lebih memilih untuk menghina mereka…

Jadi, apakah dia fikir Najib berikan BR1M kepada penyokong parti-parti pembangkang itu dan mereka akan memberi undi kepada BN pada pilihan raya? Dia fikir penyokong DAP, PKR, PAN, ‘bunga raya’ dan PAS akan beri undi pada BN semata-mata kerana diberi BR1M?

Jika benar dia percaya pada pandangan itu, maka penulis berpandangan bahawa mungkin akalnya sudah terlalu tumpul untuk diasah kembali. Bak kata rakyat marhain, otaknya sudah ‘karat’ untuk berfikir secara waras…

Sekiranya BR1M itu merupakan ‘umpan’ untuk rakyat memberi undi pada BN, maka pada pandangan penulis adalah lebih baik Najib hanya memberikan BR1M sekali sahaja iaitu pada hari pilihan raya berlangsung.

Kaedahnya, selepas mengundi di pusat-pusat mengundi, pengundi yang mampu membuktikan mereka mengundi BN saja pada pilihan raya itu layak diberi BR1M. Jika terbukti mengundi BN, maka pengundi itu akan terus menerima BR1M di kaunter bantuan di luar pusat mengundi.

Jika itu kelayakan dan syarat menerima BR1M, maka sememangnya layak dia tuduh bantuan itu adalah ‘dedak’, ‘gula-gula’ dan ‘umpan’ dari Najib. Malah dia boleh canang pada Sarawak Report mengatakan BR1M itu ‘rasuah’ BN kepada rakyat untuk meraih undi.

Tapi jika cara sekarang BR1M diagih setiap tahun, maka penulis berpandangan bahawa dakyah dia itu layak dibakul sampahkan saja. Malah secara tidak langsung, dia menghina rezeki yang Allah berikan kepada hambanya di negara ini melalui sebuah kerajaan yang memahami setiap denyut nadi rakyat.

Mungkin dia cemburu sebab dulu ketika dia lama memerintah, mungkin dia hanya berikan ‘BR1M’ kepada kroni-kroni, anak-anak dan mereka yang berada di dalam ‘circle’nya sahaja? Hanya mereka yang rapat dan ‘setia’ padanya saja yang layak?

Jika tidak mampu memberikan rezeki Allah secara adil dan bijaksana kepada mereka yang layak, maka janganlah menghina penerima-penerima rezeki Allah itu. Penulis yakin semua anak-anaknya tidak layak menerima BR1M, tapi janganlah sakitkan hati penerima BR1M yang layak.

Sekiranya dia terus berhujah begini, jangan salahkan rakyat jika mereka berikan undi kepada BN nanti. Punca mereka beri undi pada BN bukanlah kerana BR1M, tapi mereka meluat pada ‘bunga raya’ yang suka menghina dan cuba ‘meracun’ pemikiran mereka dengan dakyah songsang…