Bukan main-main atau sembang tepi jalan… tapi pemimpin Gerakan Merah Datuk Jamal Md Yunos pada Selasa menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ketua UMNO Sungai Besar itu berminat untuk menggantikan Datuk Seri Azmin Ali yang meletak jawatan sebagai Presiden FAS baru-baru ini.

Dengan wajah berceloreng Merah Kuning di ibu pejabat FAS Kelana Jaya.

Antara yang dijanjikan oleh Jamal, segala tunggakan gaji dan elaun pemain dan jurulatih akan diselesaikan dalam tempoh 14 hari sekiranya berjaya memegang jawatan tersebut.

“Hari ini saya menyerahkan surat kepada FAS untuk menawarkan diri menjadi presiden FAS. Hasrat dan tujuan saya hadir untuk menawarkan diri membantu kelab bola sepak Selangor ke arah lebih maju setanding dengan kelab lain terutama dengan pasukan JDT.

“Kalau nak disebutkan kelab JDT ini lebih maju ke depan, sekurang-kurangnya kami mampu bersaing dengan mereka,” katanya kepada media di perkarangan pejabat FAS di sini hari ini.

Jamal pada masa sama turut berjanji akan menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai selepas 14 hari dilantik menjadi presiden.

“Saya memberi jaminan dalam masa 14 hari setelah perbincangan diadakan dan saya dilantik, kita akan selesaikan semua permasalahan ini. Soal dana saya letak nombor dua.

Masalah duit kalau kita letakkan di depan berapa banyak sekalipun wang kalau pengurusan tidak bagus ia tidak akan mendapatkan hasil yang baik.

“Paling mustahak bagaimana kita hendak meningkatkan semangat terhadap pemain supaya 2017 ini akan mencipta sejarah untuk Selangor,” katanya.