Dakwaan Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, bahawa sekolah agama adalah ancaman sebenar perpaduan di negara ini adalah amat biadab dan sangat kurang ajar, kata pensyarah dan juga pendakwah, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Menyelar tuduhan itu beliau berkata, kewujudan sekolah agama adalah selari dengan Perlembagaan berbanding sekolah vernakular.

Kata Ridhuan Tee, walaupun sekolah agama 100 peratus orang Islam, tetapi agama Islam yang diajar menggalakkan umatnya menghormati orang lain dan agama lain.

“Jadi sebenarnya produk sekolah vernakularlah punca rosaknya perpaduan.

“Meskipun ada 12 peratus pelajar Melayu di sekolah vernakular, penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Cina masih lemah untuk mereka berinteraksi dengan masyarakat luar. Jadi penambahan Melayu di SJKC bukanlah isu bagi menunjukkan sekolah Cina bukan punca perkauman.

“Persoalannya, apakah Dominic tak buat kajian bahawa produk sekolah vernakukar amat terhad pergaulan mereka melainkan dengan bangsa mereka sahaja? Sedangkan kalau dilihat, produk sekolah agama lebih mudah bergaul dengan bangsa lain kerana ia adalah tuntutan agama.

“Jadi jangan sembarangan tuduh produk sekolah agama punca perpecahan, hina sungguh pemimpin seperti ini,” kata Ridhuan Tee kepada Ismaweb hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Dominic yang menggesa kerajaan mengkaji semula dasar-dasar sekolah agama yang dibiayai oleh kerajaan.

Ia berikutan dakwa Dominic, sekolah agama adalah ancaman sebenar perpaduan di negara ini dan bukannya sekolah vernakular.

Beliau juga mendakwa sekolah agama mempunyai kecenderungan untuk menghasilkan mereka yang mempunyai fahaman ekstremis Islam.

Sindir Ridhuan Tee, apalah yang ditakutkan Dominic sehingga membuat kenyataan sedemikian.

“Tidakkah dia sedar, kehadiran menek moyangnya ke Tanah Melayu adalah disebabkan oleh agama Islam yang telah mengetuk pintu hati orang Melayu.

“Dengan Islamnya, Melayu mereka menjadi begitu lunak untuk menerima kehadiran orang asing. Ditakdirkan orang Melayu masih tidak memeluk Islam lebih 600 tahun dahulu, saya tak yakin Melayu sudi menerima orang luar untuk berada dalam negara tercinta.

“Bahkan dengan Islam, ia telah menyebabkan Melayu begitu meraikan orang lain. Jika tidak, sudah lama nenek moyang mereka (orang Cina) ditendang keluar ketika datang berhijrah,” katanya.