Terkejut dan terlekat air liur di kerongkong apabila terdengar berita tular di utara bahawa dalam diam-diam Mukhriz ‘telah melantik’ Mahfuz Omar, ahli parlimen PAS Pokok Sena di Kedah sebagai penasihat utama politik beliau. Benarkah desas desus ini?

Menurut sumber pakatan, Mukhriz berbuat demikian sebagai antara proses ‘ambil alih’ kerusi dari Mahfuz yang sudah berbelas tahun menjadi ahli parlimen di sana namun rekod prestasinya amat hambar. Mungkinkah Mukhriz mampu memberikan khidmat yang lebih baik sedangkan beliau sendiri merupakan bekas Menteri Besar Kedah yang gagal?

Tindakan Mahfuz memberi laluan kepada Mukhriz berdasarkan kepada kemungkinan PAS Kedah juga dikatakan tidak akan mencalonkan lagi nama beliau di pilihanraya umum akan datang. Beliau juga kalah dalam pertandingan perebutan jawatan di muktamar PAS. Mahfuz gagal mempertahankan jawatan di dalam parti.

Beliau bukan setakat kalah semata-mata, malahan PAS pusat sudah nampak kecenderungan sokongan terbaharu Mahfuz bukan lagi kepada PAS. Mungkin sekatan “baiah cerai talaq 3” yang mengekang Mahfuz dari bertindak keluar PAS dan bersama dengan rakannya yang lain menyertai parti Mat Sabu. Hanya Mahfuz yang dapat memberi penjelasan berkenaan perkara ini.

Sumber tersebut juga menambah, Mahfuz akan ada di mana saja Mukhriz dan Mahathir muncul dalam program parti Mahathir walaupun Mahfuz tahu PAS belum membuat apa-apa persetujuan untuk bersama dengan PPBM. Jadi kenapa Mahfuz nampak bersungguh mengikut arahan Mukhriz?

Melihat kepada keadaan Mahfuz yang tidak tentu arah dan celaru, sumber mengatakan Mukhriz menawarkan ‘sesuatu’ yang lebih baik. Lagi pun dengan faktor umur Mahfuz serta ditambah dengan sokongan pengundi terhadap beliau makin merudum, ini saja jalan dan pilihan yang terbaik buat beliau. Menyerahkan kerusinya kepada Mukhriz yang berfikir bahawa ini adalah kawasan yang selamat baginya dan boleh menang dengan mudah.

Bagi Mukhriz, pula melantik Mahfuz sebagai pegawai penasihat politik adalah proses ‘barter trade’ terbaik. Beliau boleh berulang alik jumpa anak bini di luar negara seperti yang biasa beliau lakukan sebelum ini, Mahfuz ada untuk “tengok” kawasannya – itu pun kalau Mukhriz menang.

Mungkin Mukhriz dan Mahfuz boleh memberi penjelasan tentang isu yang sedang tular ini. Bak kata pepatah Melayu, kalau tidak ada angin masa kan pokok bergoyang. Mukhriz dilihat masih tercari-cari arah dan haluan. Mahathir tidak akan mampu membantu sepanjang hayat beliau. Selagi kita bernama manusia, kita tetap tertakluk kepada batasan tertentu.