Tabur janji pandai… masa nak bayar bagi macam-macam alasan… itu kisah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat enggan melunaskan gaji dan bonus pemain bola sepak negeri itu dan menyerahkan urusan kewangan tersebut kepada FAS.

Azmin melepaskan tanggungjawab tersebut dengan memberi alasan FAS mempunyai dana melebihi RM2 juta dan mampu untuk menyelesaikan bayaran tersebut.

FAS sebelum ini dilapor telah menggesa Mohamed Azmin dan Amiruddin Shari selaku pengurus pasukan Selangor agar memenuhi janji untuk melangsaikan gaji pemain dan pegawai pasukan bagi November serta bonus kerana mara ke final Piala Malaysia 2016, walaupun mereka telah melepaskan jawatan sebagai presiden FAS dan pengurus pasukan.

Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim dilapor sebagai berkata meskipun telah melepaskan jawatan, kedua-duanya tidak boleh lari daripada tanggungjawab melangsaikan hutang pengurusan FAS.

Sementara itu Mohamed Azmin berkata pihak kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam tidak pernah menafikan kerja-kerja penyelenggaraan Stadium Shah Alam.

“Stadium Shah Alam memang diselenggara, tahun lepas ada beberapa pakej ditender dan dilakukan untuk menukar kerusi penonton dan beberapa kemudahan lain,” katanya.

Beberapa badan bukan kerajaan meluahkan rasa kesal dengan keadaan stadium dan mendakwa tiada usaha penambahbaikan dilakukan sejak sekian lama.