Pakatan Harapan (PH) hari ini berjanji untuk memansuhkan kutipan tol di Lebuh Raya Utara-Selatan dan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata langkah itu dibuat untuk membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat.
Ahli Parlimen Bagan itu kemudiannya mempertikaikan tindakan kerajaan melanjutkan tempoh perjanjian konsesi tol Lebuh Raya Utara-Selatan yang sepatutnya tamat pada 2018.
Untuk rekod perjanjian baru dilanjutkan tempoh selama 20 tahun sehingga 2038.
Perkara sama berlaku kepada perjanjian asal konsesi tol Jambatan Pertama Pulau Pinang yang dilanjutkan selama 20 tahun lagi.
“Sedangkan, hasil kutipan tol sehingga akhir 2015 berjumlah RM36.3 bilion. Kos pembinaan sebenar Lebuhraya Utara-Selatan hanya RM5.9 bilion.
“Kalau menang di Putrajaya, baru kita ada kuasa untuk melakukannya. Menang kerajaan negeri saja tidak cukup kuasa untuk menghapuskan tol dan cukai GST,” katanya