Macam-macam drama antara dua ‘dinosour’ politik Malysia. Lim Kit Siang dan Tun Mahathir Mohamad. Lepas sakan ‘cium mulut’ ini ada lagi sandiwara terbaru antara mereka berdua.

DAP cuba tonjolkan bahawa mereka tidak memerlukan nasihat Mahathir apatah lagi arahan daripada bekas Perdana Menteri itu.

Sebagai parti komponen paling berpengaruh dalam Pakatan Harapan… Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang merasakan tidak ada keperluan untuk berbincang mengenai strategi politik Pakatan Harapan dengan Mahathir.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengakui cadangan untuk bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dibuat tanpa berbincang dengan kepemimpinan tertinggi pakatan pembangkang.

Kit Siang berkata, cadangan itu akan diteruskan, walaupun mendapat tentangan daripada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad.

“Cadangan untuk bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRU-14 memang tidak dibincang bersama Dr Mahathir kerana kami mempunyai pandangan berbeza dengan beliau berhubung perkara ini.

“DAP juga tidak perlu mendapatkan persetujuan daripada parti komponen lain dalam Pakatan Harapan berhubung cadangan ini. Malah, saya juga bukan boneka kepada Dr Mahathir,” katanya pada sidang media di Wisma DAp Pulau Pinang sebentar tadi.

Semalam, kesediaan Kit Siang untuk bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRU-14 akan datang dilapor bercanggah dengan pendirian Mahathir yang menegaskan Pakatan  tidak memerlukan kerjasama dengan PAS.

Ia sekali gus mencerminkan perbezaan pendapat terus menular dalam kalangan kepemimpinan pakatan pembangkang, manakala PAS sebelum ini bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP, selain mahu terus menjauhkan diri daripada parti serpihannya, Parti Amanah Negara yang berada dalam Pakatan.

Sebelum ini Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata ruang kerjasama antara parti itu dan PPBM diyakini sudah tertutup ekoran pengakuan Dr Mahathir bahawa DAP ada meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Malah menurut Zuhdi lagi, perkembangan itu sekaligus merencatkan sama sekali siri pertemuan antara PAS dan PPBM untuk menjalin hubungan kerjasama.

Sementara itu Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin masih belum memberikan sebarang kenyataan berhubung hala tuju kerjasama dengan PAS.

Muhyiddin sebelum ini giat mengadakan perbincangan dengan kepimpinan utama PAS antaranya Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim berhubung kerjasama dengan PAS.

Malah Muhyiddin dalam satu acara bersama PAS di Terengganu Oktober tahun lalu dengan jelas meminta kerusi daripada parti itu untuk ditandingi oleh PPBM bagi menghadapi BN.