SHAH ALAM: PAS akan tetap bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN) yang ditubuhkan bersama-sama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).
Naib Presidennya Datuk Iskandar Abdul Samad berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang sedia menceraikan PAS jika parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu mahu menyertai Pakatan Harapan (PH).
“Setiap parti bebas menetapkan pendirian masing-masing.
“Jika Ikatan hendak meninggalkan Gagasan Sejahtera itu keputusan mereka. PAS akan terus bersama Gagasan Sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan kepada Antarapos.
Malah Iskandar mengambil pendirian untuk tidak membuat apa-apa spekulasi berhubung kenyataan Abdul Kadir.
“Saya tidak mahu membuat spekulasi kepada sesuatu yang belum berlaku.
“Tunggulah sehingga ia berlaku,”jawab Iskandar.
Dalam pada itu, Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata sebarang keputusan yang dibuat oleh Hadi dan kepimpinan PAS Pusat adalah selepas diperhalusi semua perkara.
“Sebarang keputusan yang dibuat oleh Presiden dan pimpinan PAS Pusat adalah setelah dihalusi semua fakta,” jelas beliau.
Semalam, Abdul Kadir berkata partinya tidak akan mengikuti PAS jika parti itu mahu bekerjasama politik PH.
Menurut Abdul Kadir, Ikatan tidak berminat dengan kerjasama tersebut kerana sudah mempunyai Gagasan Sejahtera.
Untuk rekod, PAS pada 16 Mac 2016 mengumumkan pembentukan blok pembangkang ketiga bersama-sama Ikatan.
“Kalau PAS mahu pergi kami tidak akan sertai. Gagasan, kami sedia berseorangan tanpa PAS.
“Sekarang ini kami blok ketiga kami ada juga gabungan dengan berpuluh lagi NGO tetapi soal rundingan nak masuk Pakatan Harapan itu kami tidak terlibat dan kami berminat,” kata Abdul Kadir yang dipetik laporan portal semalam.
Abdul Kadir bagaimanapun berkata partinya tidak memberi tekanan dan halangan untuk PAS membuat keputusan.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terdahulu memaklumkan akan melanjutkan perbincangan dengan PAS berkenaan penyertaan parti itu dalam kerjasama politik bersama-sama dengan PH.
PAS-PPBM akan mengadakan satu pertemuan pada 2 Februari depan berhubung rundingan berkenaan.