PAS berkata DAP dan PKR tidak memberi tumpuan terhadap keperluan pembangunan rohani umat Islam dan hanya menekankan aspek kebendaan bagi memancing undi.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof berkata dasar kedua-dua parti di negeri itu tidak akan dapat melahirkan rakyat bertamadun.

“Usaha yang dilakukan oleh DAP dan PKR untuk membela Melayu dan Islam di Pulau Pinang didapati masih berada di dalam kerangka pembangunan konvensional yang hanya memfokuskan aspek material semata-mata dan mengabaikan aspek pembinaan insan, spiritual dan ruhiyah.

“Pembelaan Melayu dan Islam yang hanya difokuskan kepada aspek material ini sama seperti kaedah yang digunakan oleh BN, bersifat jangka pendek untuk menang pilihan raya dan kekal berkuasa, namun tidak akan dapat melahirkan rakyat dan negeri yang bertamadun,” katanya di Markaz Tarbiah PAS di Pongsu Seribu, Kepala Batas semalam.

Fauzi turut mendakwa badan pemikir milik kerajaan negeri, Institut Pulau Pinang mempromosikan “Islam liberal” yang bercanggah dengan Sunnah Wal Jamaah, dan ini dapat dilihat menerusi penulisan Pengarah Eksekutifnya Zairil Khir Johari.

“Beliau didapati memperkecilkan institusi mufti dan jawatankuasa fatwa negeri apabila tidak hadir memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau, walaupun dipanggil beberapa kali oleh mufti,” katanya.

Dalam reaksinya, Zairil, yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera, mempertahankan pandangannya, dan berkata ia sebahagian daripada perbicangan dan perdebatan.

“Saya memetik hujah cendekiawan Islam dan terpulang pada pembaca untuk percaya atau tidak. Bahkan, mereka boleh menulis dan menyangkal hujah saya,” katanya yang sebelum ini dipanggil jawatankuasa fatwa negeri atas artikelnya dalam penerbitan kerajaan negeri, Buletin Mutiara.

Zairil berkata beliau tidak dapat hadir pada sesi penjelasan jawatankuasa itu kerana terpaksa menghadiri isu pengusiran Kampung Mutiara di Batu Feringghi.

“Walaupun saya sudah beri penjelasan, mereka tetap mencemuh saya,” katanya.

Fauzi berkata Buletin Mutiara menyebarkan “Islam liberal” ketika pihak berkuasa agama berusaha membendungnya.

Beliau melahirkan kebimbangan ia turut dibaca pelajar di sekolah agama.

“Situasi ini bercanggah dengan usaha membanteras dan mengawal fahaman ini yang dilakukan oleh jawatankuasa kariah masjid dan surau di seluruh negeri sekaligus menggambarkan bahawa pihak kerajaan negeri tidak mengendahkan suara yang membantah fahaman ini,” katanya.