Laluan untuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) nampaknya semakin jelas.

Ini setelah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sendiri pagi Isnin memberi perkenan membenarkan anakanda baginda bertanding jawatan berkenaan.

Baginda beri persertujuan itu dalam pertemuan ‘ untuk melihat sokongan tulin’ dengan 14 ahli gabungan FAM di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi,Johoir Bharu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang hadir dalam pertemuan itu memberitahu sidang akhbar selepas itu dengan perkenan Sultan Johor, mereka Tunku Ismail bersetuju untuk menerima pencalonan bagi menyandang jawatan Presiden FAM.

“Tuanku juga bertitah jangan berikan tempoh tertentu, sebaliknya memberikan masa kepada Tunku Ismail bagi melakukan perubahan terhadap bola sepak negara,”katanya.

14 ahli gabungan FAM hadir pada pertemuan selama sejam itu manakala enam lagi iaitu Perak, Kelantan, Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak hadir.

Pemilihan jawatan itu akan berlangsung 25 Mac hadapan manakala pengumuan nama-nama mereka yang disahkan akan bertanding ialah pada 20 Februari ini.

Selain Tunku Ismail turut dicalonkan bertanding jawatan Presiden FAM ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Baru-baru ini Khairy kata beliau sedia memberi laluan kepada Tunku Mahkota Johor jika baginda bersetuju untuk bertanding jawatan Presiden FAM.

Malahan, beliau berpendapat, Aseh dan Annuar juga akan membuat keputusan sama.