Nak selamatkan Malaysia kononnya…lupa kah madey ini ker?Atau nak selamatkan kroni dan anak beranak?Rakyat Malaysia majoriti sudah mulai nampak perangai sebenar madey kini sudah menjadi rakan sekutu DAP.

PETALING JAYA: PAS terlalu “mempercayai” Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, justeru sukar untuk mengajak parti berkenaan dalam misi menyelamatkan Malaysia, demikian kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, PAS berkemungkinan takut untuk mendengar penjelasan atau penerangan daripada blok pembangkang kerana ingin kekal dalam tafsiran yang ‘silap’.

“Mereka nak percaya sangat kepada Najib supaya tak ada apa-apa yang perlu dilakukan oleh mereka tapi kalau mereka dengar penjelasan dari kita, mereka terpaksa berfikir dan proses pemikiran itu agak berat bagi sesetengah orang. Mereka tak mahu fikir,” katanya dalam sidang media selepas majlis Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia, petang tadi.

Terdahulu, beliau ditanya pemberita mengenai cara untuk menarik PAS bagi turut bersama pembangkang lain dalam misi ‘Selamatkan Malaysia’.

PAS tidak menyertai PKR, DAP dan Amanah yang menubuhkan blok pembangkang baru, Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan Pakatan Rakyat (PR).

Parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bagaimanapun menubuhkan blok ketiga yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera (GAGASAN) bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA).

Parti itu juga tidak bersama-sama dengan pembangkang lain ketika pelancaran Deklarasi Rakyat yang bertujuan menjatuhkan Najib, tahun lalu.

Parti itu berpendirian, sebarang usaha untuk menjatuhkan Najib perlu dilakukan menerusi saluran demokrasi iaitu pilihan raya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekali lagi mengulangi saranan kepada PAS agar bekerjasama dengan pembangkang, sekurang-kurangnya bagi mengelakkan pertembungan pada pilihan raya kelak.

“Bersatu (PPBM) sedang berbincang dengan PAS. Kita belum dapat keputusan lagi tapi bagi Bersatu (PPBM) kita akan sertai pakatan dengan Pakatan Harapan (PH) lebih awal daripada persetujuan dengan PAS. Kita harap PAS bersama sekurang-kurangnya dengan Bersatu (PPBM) supaya kukuhkan satu lawan satu. Kalau tak, terpaksalah terima pertandingan tiga penjuru,” katanya.

Dalam perkembangan yang lain, Dr Mahathir menegaskan PPBM tidak akan ‘dibubarkan’ sekalipun jika usaha menjatuhkan Najib tidak ‘berhasil’.

“Parti politik kadang-kadang menang, kadang-kadang kalah. Kalau kalah tutup tapi kita tak ada niat nak tutup Bersatu (PPBM) hanya kerana kalah, kita akan usaha lagi untuk menyelamatkan negara kita,” katanya.

Terdahulu PH dan PPBM mengadakan sidang meja bulat ‘Selamatkan Malaysia’ bagi menyelamatkan negara yang didakwa sedang dilanda kleptokrasi yang membimbangkan.

Dalam satu kenyataan bersama, blok pembangkang itu berkata adalah penting untuk mencari jalan kepada permasalahan yang telah memburukkan nama negara di mata dunia.

“Kita di Malaysia sedang berada di tahap yang amat membimbangkan. Bagi membuang label kleptokrasi global yang amat memalukan ini, kita rakyat Malaysia – tanpa mengira kaum, agama, bahasa, wilayah, gender, usia atau ideologi – mesti bekerjasama untuk Selamatkan Malaysia,” kata kenyataan berkenaan.